Berita / Hebahan / Aktiviti / HACKATHON DATA TERBUKA 2019

Berita / Hebahan / Aktiviti

HACKATHON DATA TERBUKA 2019

27-Sep-2019

Cyberjaya, 24 September 2019 - Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri

terus komited untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pelaksanaan Kerajaan Digital sehingga ke peringkat global dengan sekali lagi menganjurkan Program Hackathon 2019. Penganjuran ini juga merupakan manifestasi awam swasta yang dicapai bersama hasil kerjasama rakan strategik iaitu TM One, GITN Sdn. Bhd dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC).

Pertandingan Hackathon Data Terbuka 2019 bersama-sama rakan strategik juga merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) yang telah diadaptasi oleh semua negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Justeru dengan tema “Innovation for Well Being”, Hackathon Data Terbuka tahun ini telah mensyaratkan supaya produk data atau aplikasi yang dihasilkan dijajarkan dengan mana-mana 17 Sustainable Development Goals (SDG).

 

Hackathon Data Terbuka telah dianjurkan sejak tahun 2015. Tahun ini merupakan tahun kelima (ke-5) MAMPU berkolaborasi dengan rakan strategik bagi mengadakan program ini dan buat kali keduanya diadakan secara dalam talian melalui Portal Data Terbuka, di pautan https://hackathon.data.gov.my. Namun pada tahun ini tempoh masa yang diberikan lebih lama iaitu selama 240 jam / 10 hari berbanding 168 jam / 7 hari pada 2018.

 

Program kali ini melibatkan pendaftaran sebanyak 135 kumpulan (410 orang) yang terdiri daripada 41 kumpulan kategori Sektor Awam, 70 kumpulan Kategori Universiti & Industri serta 24 kumpulan Pelajar Sekolah Menengah.  Penyerahan produk telah bermula pada 12 – 17 September.  Sebanyak 98 kumpulan yang terdiri daripada 33 kumpulan kategori Sektor Awam, 47 kumpulan Kategori Universiti & Industri serta 18 kumpulan Pelajar Sekolah Menengah telah menghantar aplikasi/produk untuk dinilai oleh panel penilai.

 

Turut hadir sama di program tersebut ialah YBhg. Dato’ Dr. Suhazimah binti Dzazali, Timbalan Ketua Pengarah ICT, MAMPU bagi menyempurnakan Majlis Apresiasi Panel Penilai Sempena Program Hackathon Data Terbuka 2019.

 

Aspirasi penganjuran program Hackathon adalah untuk menerapkan budaya penciptaan dan pembangunan aplikasi atau produk selain dapat mencungkil bakat dan kemahiran peserta dalam menghasilkan aplikasi/produk yang kreatif, berinovasi yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Paling utama, aplikasi atau produk ini dibangunkan dengan menggunakan Data Terbuka yang mana data kini merupakan sumber yang paling berharga seperti kata-kata dari The Economist, “The world’s most valuable resource is no longer oil, but data”.

 

Selain itu, penghasilan produk melalui Data Terbuka ini juga diharap mampu menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan dan melahirkan start-up dalam kalangan usahawan digital generasi muda, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

Hackathon Data Terbuka pada tahun ini telah mencatat sejarah di mana jumlah peserta seramai 410 berbanding 211 peserta pada tahun lepas. Tahun ini mencatatkan jumlah peserta teramai sejak Program Hackathon Data Terbuka ini mula dianjurkan pada tahun 2015 dan yang paling menggembirakan adalah usaha Kerajaan untuk menarik penglibatan sektor swasta dalam pelaksanaan inisiatif Data Terbuka ini telah disambut baik dengan penerimaan penyertaan yang paling tinggi adalah daripada kategori universiti dan industri dan peningkataan penyertaan daripada pelajar sekolah menengah sebanyak 140%.

 

Bagi menghargai penglibatan para peserta, program ini telah menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM60,500.00.

 

Penganjuran Hackathon Data Terbuka ini berupaya menyedarkan masyarakat supaya lebih peka dan bertindak serta berupaya merebut peluang di persekitaran Ekonomi Digital yang berpacukan data ini untuk menyambut usaha Kerajaan ini dengan mengetengahkan aplikasi/produk yang dihasilkan oleh para peserta program hackathon ini ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, pertandingan ini dapat dijadikan contoh bagaimana teknologi disruptif dimanfaatkan bagi merubah landskap dan paradigma kita tentang conventional business operating model apabila mereka menyanggah tradisi dan mencabar status-quo dengan cara memanfaatkan sepenuhnya teknologi untuk memberi definisi baharu kepada cara pemikiran konvensional.