Berita / Hebahan / Aktiviti / 48 JAM HACKATHON 2016

Berita / Hebahan / Aktiviti

48 JAM HACKATHON 2016

25-Oct-2016

MENYEMARAKKAN KUASA DATA TERBUKA UNTUK INOVASI MELALUI 48 JAM HACKATHON DATA TERBUKA SEKTOR AWAM 2016

Cyberjaya, 24 Oktober 2016 – Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bersama-sama rakan strategik iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), GITN Sdn. Berhad (GSB) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah mengadakan Program Hackathon Data Terbuka Sektor Awam 2016 bertemakan Unleashing The Power of Open Data for Innovation.  Program Hackathon ini adalah satu platform pertandingan pembangunan aplikasi yang akan berlangsung berterusan selama 48 jam. Ia bertujuan untuk menggalakkan pembangunan aplikasi atau produk berasaskan data terbuka di kalangan penjawat awam, industri, universiti awam dan pelajar sekolah menengah.

Program Hackathon Data Terbuka Sektor Awam bertujuan untuk:

  1. Menyediakan ruang perkongsian ilmu ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan digital.
  2. Mempromosikan produk/inisiatif digital perkhidmatan awam.
  3. Menggalakkan penglibatan penjawat awam, akademia, usahawan, pelajar sekolah dan rakyat dalam membangunkan produk inovasi menggunakan Data Terbuka Sektor Awam.

Persekitaran Data Terbuka membolehkan data sedia ada digunakan untuk menghasilkan analitis data yang lebih berkesan di samping menjadi wadah untuk mendapatkan maklum balas daripada orang awam secara interaktif dalam pelbagai media.

YB Datuk Joseph Entulu berkata dalam ucapan perasmiannya “MAMPU merancang untuk melaksanakan program bina upaya data analitis yang berstruktur dan sistematik melalui pendekatan coaching untuk menghasilkan analitis data dengan menggunakan platform Data Raya Sektor Awam sedia ada di MAMPU”. Sehingga kini, sebanyak 1,336 set data terbuka telah tersedia dalam Portal Data Terbuka Sektor Awam dan beliau berharap sasaran sebanyak 1,500 set Data Terbuka dapat tercapai sebelum akhir tahun ini.

Sehingga kini, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Malaysian Centre for Geospatial Data Infrastructure (MaCGDI) serta Kementerian Sumber Asli merupakan agensi pembekal utama set Data Terbuka. Antara data yang boleh diperoleh ialah:

  1. bilangan kampung dan penduduk Orang Asli mengikut negeri;
  2. statistik tenaga buruh mengikut negeri;
  3. statistik ladang getah di Malaysia sejak 1965 sehingga 2014; dan
  4. bilangan isi rumah dan kediaman mengikut daerah dan negeri.

Seramai 600 orang peserta yang terdiri daripada ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan, ketua-ketua pegawai maklumat sektor awam, dan peneraju data terbuka sektor awam hadir memeriahkan majlis.