Berita / Hebahan / Aktiviti / Berita BERNAMA : Hari Data Terbuka 2017 Promosi Kuasa Data Terbuka

Berita / Hebahan / Aktiviti

Berita BERNAMA : Hari Data Terbuka 2017 Promosi Kuasa Data Terbuka

25-May-2017

PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Kebanyakan orang mungkin tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan data terbuka.

Data terbuka merujuk kepada sumber bahan-bahan untuk maklumat dan pengetahuan yang boleh digunakan secara bebas, boleh dikongsi dan digunakan semula oleh rakyat, agensi kerajaan dan swasta untuk pelbagai tujuan.

Pelaksanaan Data Terbuka Kerajaan mempunyai fungsi signifikan dalam proses transformasi kerajaan kerana selain membantu kerajaan untuk menjadi lebih telus ia juga bertindak sebagai pemacu inovasi dan membantu dalam penyediaan infrastruktur data yang menyokong perkembangan ekonomi.

Portal Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) data.gov.my telah dibangunkan dan diaktifkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada tahun 2014.


Pembangunan platform rasmi ini adalah bagi memudahkan set data terbuka kerajaan diakses oleh rakyat, agensi kerajaan mahupun swasta secara berpusat.

BAROMETER DATA TERBUKA

Inisiatif data terbuka yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara dinilai menggunakan Barometer Data Terbuka (ODB) yang dibangunkan oleh World Wide Web Foundation.

Menurut yayasan ini, penilaian ODB bertujuan untuk mendedahkan impak sebenar data terbuka di seluruh dunia.

Melalui ODB, negara-negara yang terlibat dinilai berdasarkan kepada kesediaannya terhadap inisiatif data terbuka, pelaksanaan program-program berkaitan dan impak data terbuka terhadap perniagaan, politik dan masyarakat.

Pada tahun 2014, Malaysia berada pada ranking ke-41 daripada 86 buah negara yang dinilai.

Namun begitu, kedudukan negara turun 10 anak tangga menjadi kedudukan yang ke 51 daripada 92 buah negara yang dinilai pada tahun 2015 dan pada tahun 2016 Malaysia berada di tangga ke-53 daripada 115 buah negara.

HARI DATA TERBUKA 2017

Kemerosotan ini merupakan antara faktor pencetus yang mendorong MAMPU untuk menganjurkan Hari Data Terbuka yang berlangsung pada hari ini di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

"Hari Data Terbuka 2017 adalah salah satu aktiviti yang dikenalpasti di bawah DTSA dan tujuannya adalah untuk mempromosi kuasa data terbuka kepada semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, akademia dan rakyat," kata Timbalan Ketua Pengarah (ICT), Dr Suhazimah Dzazali kepada Bernama.

Antara aktiviti utama yang dirancang adalah satu acara yang dipanggil "Open Data Big Splash" yang mana sebuah start up melancarkan satu aplikasi yag diinovasikan daripada penggunaan data terbuka kerajaan dan swasta untuk memberi manfaat kepada para pengguna pengangkutan awam.

"Tujuan Big Splash ini (dan Hari Terbuka Data) adalah untuk mewujudkan kesedaran dan keterujaan terhadap potensi data terbuka kepada kerajaan dan rakyat dan pelancaran "Open Data Big Splash" ini menjadi bukti kepada kolaborasi yang terhasil daripada kerajaan, swasta dan sebuah start up," katanya.

Menurut Suhazimah lagi, tema yang diangkat untuk Hari Data Terbuka 2017 ini, "Jom Kongsi Data" sebenarnya mengajak semua sektor untuk sama-sama berkongsi data yang mereka miliki melalui platform Portal DTSA, data.gov.my.

SEMINAR DATA TERBUKA

Hari Data Terbuka 2017 ini terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pagi dengan pelancaran "Open Data Big Splash" oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi manakala sesi petang pula akan berlangsung Seminar Data Terbuka yang akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Di dalam seminar ini, Joseph akan menerima, bagi pihak kerajaan, Laporan Penilaian Ketersediaan Data Terbuka (ODRA) yang akan diserahkan oleh World Bank Group.

Laporan ODRA ini penting kerana ia mengandungi cadangan-cadangan daripada pakar-pakar World Bank Group untuk kerajaan memanfaatkan potensi perkongsian data terbuka kepada kesejahteraan rakyat.

"ODRA merupakan satu penilaian jujur yang boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja, mengandungi langkah-langkah pembaikan dan pelan tindakan yang perlu kita ambil, selain tahap ketersediaan Malaysia dalam melaksanakan inisiatif data terbuka ini," kata Suhazimah.

Hari Terbuka 2017 ini adalah kolaborasi MAMPU bersama rakan-rakan strategik iaitu Kementerian Pengangkutan Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Prasarana Malaysia Berhad, Syarikat WRZiT dan juga Universiti Malaya.

--BERNAMA 

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1359082