Berita / Hebahan / Aktiviti / Malaysia Ke Arah Kerajaan Terbuka (Open Government Partnership)

Berita / Hebahan / Aktiviti

Malaysia Ke Arah Kerajaan Terbuka (Open Government Partnership)

22-Oct-2018

Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan hasrat melalui manifesto Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu untuk menjadikan Malaysia sebuah Kerajaan Terbuka. Hasrat ini akan dapat memartabatkan peranan Malaysia dalam institusi antarabangsa dalam amalan pentadbiran yang baik, cekap dan telus. Salah satu piawaian antarabangsa berkait dengan ketelusan dan akauntabiliti yang perlu diadaptasi adalah Open Contracting Partnership (OCP).

Selaras dengan itu, MAMPU telah mengorak selangkah kehadapan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Inisiatif Pemerkasaan Lautan Data ke arah pelaksanaan Open Government Partnership, seterusnya untuk melayakkan Malaysia diiktiraf sebagai Kerajaan Terbuka.

MAMPU yang diketuai oleh YBrs. Dr. Suhazimah binti Dzazali, Timbalan Ketua Pengarah ICT bersama Pengarah Bahagian Kerajaan Digital, YBrs. Dr. Yusminar binti Yunus telah mengadakan perbincangan bersama wakil pasukan Open Contracting Partnership (OCP) Ms. Bernadine Fernz. Perbincangan ini telah diadakan pada 22 Oktober 2018 di MAMPU Putrajaya bagi membincangkan hala tuju yang perlu dirangka bagi membantu Malaysia mengadaptasi OCP ke arah menjadi sebuah Kerajaan Terbuka. Perbincangan tersebut turut disertai oleh En Khairil Yusof dari Sinar Project dan En Zulkfli bin Ahmad dari Pasukan Data Terbuka, MAMPU.

Semasa perbincangan tersebut MAMPU telah dimaklumkan berkenaan fungsi dan peranan OCP serta wakil OCP turut berkongsi pengalaman serta kejayaan melaksanakan OCP di negara seperti Columbia, Mexico dan Ukraine. Ms Bernadine Fernz juga telah bersetuju untuk membantu MAMPU dengan memberi khidmat nasihat berkaitan OCP bagi memastikan usaha MAMPU bagi mengadaptasi piawaian antarabangsa berhasil sekaligus menjadikan Malaysia negara yang mengamalkan prinsip keterbukaan dan berakauntabiliti dalam semua aspek urus tadbirnya.