Berita / Hebahan / Aktiviti / MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL PENGHARGAAN PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) DATA TERBUKA BAGI TAHUN 2018

Berita / Hebahan / Aktiviti

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL PENGHARGAAN PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) DATA TERBUKA BAGI TAHUN 2018

04-Mar-2019

Pada 4 Mac 2019, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Data Terbuka Bagi Tahun 2018 kepada Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK). Majlis telah berlangsung di Dewan Taklimat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Dr. Ismail bin Bakar, Ketua Setiausaha Negara.

Majlis buat julung kali diadakan ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Kerajaan terhadap komitmen dan kerjasama semua Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) yang telah mencapai sasaran KPI dan menyumbang kepada pencapaian KPI Data Terbuka Tahun 2018. Seramai 52 Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah dan Setiausaha Kerajaan Negeri telah hadir untuk menerima sijil penghargaan dalam majlis berkenaan.

Bertepatan dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan perkongsian data secara lebih agresif dalam kalangan agensi Kerajaan, penerbitan set Data Terbuka di Portal Data Terbuka telah diangkat sebagai Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator - KPI) Generik bagi penilaian prestasi Penjawat Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam (PPTPA) dengan sasaran 10,000 set data baharu diterbitkan di Portal Data Terbuka. Sehingga 31 Disember 2018, sebanyak 10,400 set data baharu telah berjaya diterbitkan melebihi sasaran.

Sebanyak 18 daripada 25 Kementerian (72%) dan 10 daripada 13 PSUK (76.9%) telah mencapai sasaran KPI melebihi 100%. Teras kejayaan ini adalah hasil pengemblingan tenaga, komitmen dan semangat kerjasama yang padu daripada Kementerian dan PSUK dalam mencapai sasaran KPI yang ditetapkan.

Pencapaian ini merupakan satu lagi titik sejarah yang signifikan dalam usaha Kerajaan untuk memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan berpacukan data yang dapat menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam yang secara langsung memberi manfaat kepada pelbagai pihak sama ada rakyat, agensi Kerajaan, industri, akademia, penyelidik dan sebagainya.

Sebagai rantaian kehadapan,  MAMPU beriltizam untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi lagi pada tahun 2019 ini khususnya untuk meningkatkan kualiti data dan penggunaan Data Terbuka melalui penghasilan produk/perkhidmatan yang kreatif dan berinovatif di samping meningkatkan kedudukan negara di peringkat global seperti Open Data Barometer dan On-line Service Index.

Klik gambar sekitar Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Data Terbuka Bagi Tahun 2018